Pages

Rabu, 25 Mei 2011

PENGIKTIRAFAN SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN BUNGA RAYA 1,HULU SELANGOR


Alhamdullilah, lafaz yang paling indah terucap apabila Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 di nobat sebagai Sekolah Pemimpin ICT Peringkat Negeri Selangor sempena sambutan  Hari Guru 2011 pada 23 Mei 2011. Anugerah ini merupakan penanda aras untuk menjadikan batu loncatan seterusnya bagi mencapai impian  mantan Guru Besar Encik Hasim Saleh,   melahirkan Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 (SKTBR 1) sebagai sekolah cemerlang pada tahun 2010 .
Kredit kepada pemegang taruh atas kepercayaan  dan sumbangan idea ,Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor http://akademikppdhs.blogspot.com/ , serta sokongan padu Jabatan Pelajaran Negeri Selangor http://www.moe.gov.my/jpnselangor/v3/ dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor btpnsel.edu.my/main  yang akan memberi impak besar kepada Kecemerlangan SKTBR 1.
Pertukaran kepimpinan bermakna keperluan pertukaran strategi mengikut kekuatan yang ada dalam mencapai hala tuju menjadikan SKTBR 1 sekolah yang terbilang. Pengurusan sekolah yang berkesan perlu dalam menghadapi pendidikan yang semakin mencabar. Ianya boleh tercapai  jika aset  SKTBR 1 seperti barisan penolong kanan, guru-guru yang berpengalaman, ibu bapa yang berkepentingan dan barisan Persatuan Ibu Bapa Guru yang sangat komited perlu digembelingkan sebaiknya.
Cabaran dalam merealisasikan impian SKTBR 1 cemerlang khususnya dalam kurikulum hanya boleh di capai jika kita mengenepikan kepentingan diri melebihi kepentingan murid-murid. Menghayati visi dan misi sekolah serta memegang prinsip jati diri sebagai pemimpin yang berkualiti adalah tunjang kepada   kecemerlangan  SKTBR 1. Setiap warga sekolah perlu produktif  serta konsisten dalam membudayakan kerja buat yang cemerlang setanding dengan kecemerlangan SKTBR 1 di dalam bidang Ko- Akademik dan Ko-Kurikulum.
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara sebagai tema Hari Guru 2011  sinonim dengan Anugerah Pemimpin ICT kepada SKTBR 1 yang akan terus menjadikan ICT sebagai “Trademark” kepada agen perubahan dalam perkongsian, penyampaian dan penyebaran Ilmu kepada generasi muda . Tidak dinafikan  anugerah tuhan dalam  kesedian minda  mereka bagi penyerapan ilmu sebanyak mungkin umpama sebuah pustaka yang padat dengan buku-buku ilmiah berbagai bahasa dan fungsi.
Dalam konteks ini, kualiti guru berpengetahuan dan berwibawa merupakan agen penting dalam “transformasi” pendidikan sekolah kearah Keberhasilan Bidang Pendidikan Negara. “Smart partnership” yang telah terjalin antara sekolah dengan pihak swasta atau sekolah-sekolah berdekatan sebagai pemacu dalam mencapai kecemerlangan modal insan. Pendekatan, penyesuaian dan kepelbagaian dalam penyampaian ilmu relevan dengan sasaran Negara Maju tahun 2020. Kesungguhan warga pendidik dan sentuhan ajaib seorang guru insya Allah akan memberi impak kepada sekolah, hanya warga pendidik perlu bersabar menanti hasilnya samada ia dalam tempoh tertentu atau boleh melakukan lonjakan kerana rezeki itu datangnya dari Allah.

Penutup bicara kepada semua Warga Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 dan Warga Pendidik Hulu Selangor khasnya serta semua Warga Pendidik   amnya, kita budayakan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai agen perubahan  dalam  penyebaran  ilmu dunia dan akhirat secara formal atau tidak. Samada kita tidak mendapat insentif , sejauh mana kita berada ketika  mendidik malahan dalam serba kekurangan dan kepakaran  bukan halangan  pembudayaan teknologi maklumat dan komunisi sebagai kudapan harian.

Terima Kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam menjana idea, memerah keringat serta pengorbanan masa,wang ringgit  dan tenaga akhirnya Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Hulu Selangor diiktiraf sebagai "Pemimpin Dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT/ Negeri Selangor 2011 " hasil komitmen dan kerja buat yang berkualiti.
SELAMAT HARI GURU & SELAMAT MAJU JAYA

Sabtu, 14 Mei 2011

“GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Gurulah yang melahirkan seorang cendiakawan,menteri, doktor,usahawan,artis,tentera dan pelbagai bidang aset  negara mahu pun dia hanya seorang penoreh getah akhirnya. Hakikatnya tiada seorang guru pun  ingin melihat anak didiknya bernasib malang menghadapi zaman-zaman selepas alam persekolahan. Kegembiraan seorang guru  bila melihat muridnya sudah pandai membaca malahan merasa bangga bila bekas muridnya berjaya menghadapi realiti  dan cabaran kehidupan.
Ucapan Bertema Guru Besar dalam Perhimpunan Rasmi
Kekecewaan dan rasa hampa insan bergelar guru jika murid-muridnya gagal melalui liku-liku hidup hanya terubat bila akhirnya pasrah dan redha segalanya berlaku atas kehendak Allah. Di sudut hati kecil seorang insan bergelar murid juga tidak pernah mengimpikan hidup merana dan ketinggalan  dalam  pencarian  ilmu.
Cabaran dan dugaan dalam mendidik  anak-anak didik menjanjikan pewarnaan dunia seorang pendidik itu lebih indah. Adalah mustahil seorang guru itu tidak rasa bersalah jika gagal menjadikan impian muridnya menjadi realiti. Kelangsungan mendidik,membimbing dan menyebarkan ilmu merupakan agenda seorang yang bergelar guru. Semakin lama berkecimpung dalam arena pendidikan, semakin sayang dan cinta kepada dunia pendidikan tanpa mengira kepenatan mendidik itu sebagai satu beban.
Seorang guru yang berjiwa pendidik sedia berkorban masa,tenaga dan wang ringgit dalam memastikan hasrat yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Negara tercapai demi agama, bangsa dan Negara. Bila disebut guru ia sinonim dengan murid. Peribahasa menyatakan” Disigai sampai ke langit” dalam menyelesaikan sesuatu masalah murid menjadikan dunia perguruan lebih mencabar.
Bermotokan “ Guru Mengajar, Murid Belajar”di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1,  ia memberi inspirasi setiap guru terus berusaha mendidik murid-muridnya tanpa mengira waktu dan adakalanya mengenepikan kepentingan peribadi dan keluarga. Kepahitan dalam perkongsian ilmu bersama murid-muridnya menjadi lebih manis dalam ingatan khususnya selepas seorang guru itu bersara tetapi tetap di gelar GURU sehingga akhir hayatnya kerana komitmen terhadap institusi pendidikan  dalam memastikan kemenjadian aset Negara


Mesyuarat Guru Sebelum Pembukaan Awal Sesi Persekolahan




Setiap tahun tanggal 16 Mei, merupakan tarikh keramat yang dinanti-nantikan oleh setiap insan bergelar guru. Bukan hadiah yang dinanti, bukan penghargaan yang diharapkan malahan bukan ucapan “terima kasih,cik gu” yang di impikan. Pengukur utama ialah kepuasan diri dalam membimbing, mendidik dan melahirkan pelapis Negara dalam pelbagai bidang.Tanggal 16 Mei adalah hari “Recharge” dan “Refresh” semula semangat yang mungkin telah luntur, hati yang mungkin tercalar, diri yang mungkin alpa, minda yang mungkin terpesong dan yang penting membetulkan niat membimbing , mendidik dan menurunkan sebanyak mungkin ilmu serta pengalaman menghadapi cabaran glokal  dan ” dunia tanpa sempadan”  kepada generasi pelapis.


 
GIMIK PELANCARAN BULAN PANITIA SAINS

GIMIK PERASMIAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN


SELAMAT HARI GURU dari Barisan Pentadbir dan seorang insan bergelar GURU BESAR @ besar jiwa,besar impian dan besar hati KEPADA GURU-GURU khusus Guru-Guru Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Hulu Selangor; ,SK Sungai Buaya,Rawang ; SK Taman Melawati 1,Gombak; SK Jalan Selangor 2,Petaling Jaya ;SK Sri Kelana, PJ; SMK Taman Medan ,PJ; SMK Tengku Ampuan Rahimah,Klang; SMK Raja Zarina, P.Klang dan SM Sains Sultan Mahmud, Terangganu. Semoga Allah merahmati setiap sumbangan keringat, tenaga, idea, masa dan wang ringgit anda yang bergelar GURU.
Marilah semua insan yang telah berjaya dilahirkan oleh guru-guru pondok, guru-guru surau ,guru-guru pengajian tinggi malahan hebatnya guru-guru di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1, Bukit Beruntung membacakan doa untuk mereka.
Ya Allah , Tuhan Semesta Alam ,
Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu kerana telah mengizinkan kami untuk meraikan guru-guru kami hanya dengan sepotong doa
Ya Allah , Ya ‘Azizi Ya Sattar Ya Fa’alullima yurid ,
Sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman , justeru itu kurniakanlah kepada guru-guru kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya . Lorongkanlah hati guru-guru kami agar menjadikan seluruh aktriviti dunia pendidikan sebagai ibadah mengharapkan rahmat dan keredhaan-Mu  semata-mata . 
Ya Allah , Ya Mudabbiral amri ,
 Pada saat dan detik ini, kami hulurkan tangan pengharapan , memohon ihsan dan pimpinan-Mu agar Engkau anugerahkan rasa kasih sayang  kepada barisan pendidik yang budiman terhadap anak-anak didik mereka , sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangi anak- anak mereka sendiri , kurniakanlah kepada mereka kesabaran , ketabahan , semangat kerjasama yang tinggi dalam sebuah pasukan , semangat permuafakatan dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan berusaha menyumbang tenaga , idea dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan ko-kurikulum pelajar-pelajar sekolah ini khasnya dan di arena pendidikan perdana amnya .
Ya Allah , Ya Mukawwiral laili wan nahar ,
Pada kesempatan ini , kami mohon kepada kebesaran dan kehebatan-Mu ya Allah sudilah kiranya Engkau mengurniakan kepada kami sifat yang mulia dan akhlak yang luhur , mudah-mudahan kami akan menjadi anak didik yang sentiasa menghormati guru-guru kami , mendengar tunjuk ajar daripada guru-guru kami , kami sentiasa mengharapkan teguran dan bimbingan guru-guru , semoga kami menjadi insan yang sempurna dan berguna kepada agama , bangsa dan negara tercinta 

Selasa, 26 April 2011

PELANCARAN BULAN AKTIVITI PANITIA TERAS

Pelancaran Bulan-bulan Aktiviti bagi 4 Panitia seperti Panitia Bahasa Melayu,Panitia Bahasa Inggeris, Panitia Matematik dan Panitia Sains pada 25 April 2011 merupakan gabungan pelancaran buat pertama kalinya dalam sejarah Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1. Pelancaran tersebut melambangkan keperluan pengajaran secara kolaborasi atau pengajaran merentas kurikulum samada dalam matapelajaran lain atau dalam ko akademik.


Kolaborasi di dalam aktiviti Kelab dan Persatuan pada setiap hari Rabu dengan Panitia di harapkan dapat memupuk dan menyemarakkan minat murid-murid untuk terus menguasai kemahiran dalam semua subjek selain menggalakkan murid-murid untuk terus bersaing secara sihat, berkerjasama, memberi peluang kepada semua murid melibatkan diri dalam mencari pelapis pemidato, “Public speaking” atau pencarian Saintis Muda dan Eureka Ree.

Aktiviti –aktiviti panitia yang dirancang sudah tentu akan memberi input pembelajaran secara tidak formal melalui kepelbagaian aktiviti. Pepatah mengatakan jika kita baca kita faham,jika kita buat kita ingat.

Merujuk kepada pengajaran merentas kurikulum, dalam petikan buku teks Bahasa Melayu tahun 6 muka surat 65 bertajuk “Mensyukuri Nikmat Alam” mempunyai perkaitan dengan Buku Teks Bahasa Inggeris muka surat 65 bertajuk “Colours and Feelings” malahan berkaitan juga dengan Buku Teks Sains muka surat 98 bertajuk “The Darkness Falls In The Day”.

Menjadi kewajipan guru-guru mempelbagaikan kaedah penyampaian sebagai pengukuhan ilmu kerana ilmu tersebut perlu diamalkan , diwarisi malahan dijadikan panduan menghadapi realiti kehidupan. Kepelbagaian aktiviti yang disediakan bagi mewarnai bulan panitia sewajarnya setiap murid melibatkan diri .

Aktiviti mewarna tahap 1, “Spelling Bee” “Explore race”, Berlakon dan Membaca Buku cerita yang merupakan sebahagian dari aktiviti bulan Panitia Teras Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1.

Jika kita tidak terlibat secara langsung dengan aktiviti tersebut, marilah sekadar kita hayati petikan buku-buku teks berikut :

Nikmati Alam

Syukur aku

dibesarkan di sini

hidup bersama pelbagai fauna

yang jarang-jarang kita temui

yang kadang-kadang menimbulkan

misteri

Syukur aku

Miliki pertiwi ini

Yang membiakkan flora yang amat bererti

Selain menjadi sumber rezeki

Pelbagai penyakit, kau ubati…


KUALA KOH :
 Gambar Ehsan :
 @Zain Zubir and group photopages ……………………………………………………………….

Colours And Feeling

Red hibiscus, in a wonderful world,

Loving and courageous it is all about.

Trees of brown and green in a wonderful world.

An air of freshness that it bestows.

White clouds in a beautiful world,

Floating like clean cotton across the sky.

Petikan: Buku Teks Bahasa Inggeris muka surat 65

…………………………………………………………………….

Darkness Falls In The Day

Darkness falls in the day

“Mighty Sun has been eaten up! They say.

There is much sadness and fright

For mighty Sun gives us radiant light.

Alas, tiny Moon has blocked his rays

“For once, I show my power!” she says.

Isnin, 11 April 2011

Sekolah Bebas Dadah 2012 ; Negara Bebas Dadah 2015

Pada 04/04/2011 bersamaan hari Isnin Jabatan Pelajaran Selangor telah melancarkan Penubuhan Jawatankuasa Pendidikan Pencegahan Dadah. Sejak tahun 1983, Malaysia telah mengistiharkan dadah sebagai musuh nombor satu, malangnya ancaman bahaya dadah masih di tahap membimbangkan.
Senario yang membimbangkan tersebut telah menggerakkan semua agensi kerajaan dan NGO bekerjasama dalam memastikan Negara bebas dadah pada tahun 2015. Surat Pekeliling Am Bil 1 Tahun 1985 menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan penagihan dadah khususnya dalam perkhidmatan awam.
Menurut Encik Faizal bin Saat, Penolong Pengarah Kanan PPDa, Wilayah Perseketuan, 5 elemen Pendidikan Pencegahan Dadah perlu disebarluaskan dalam mencapai objektifnya seperti  perkongsian ilmu, membina kefahaman dan jati diri, membentuk sahsiah murid dan permuafakatan yang jitu dengan komuniti dalam memerangi najis dadah.
Tarikh 19hb Febuari setiap tahun telah diistiharkan sebagai Hari Anti Dadah Kebangsaan dan setiap 26 hb Jun merupakan Hari Anti Dadah Antarabangsa.
Persoalannya apakah peranan kita sebagai warga Sekolah Taman Bunga Raya 1 sebagai guru,murid, ibu bapa, penjaga malahan sebagai ahli komuniti setempat dalam usaha membenteras najis dadah yang akan menjadi ancaman jika tiada keprihatinan dari semua pihak.
'KEM BESTARI SOLAT 1/2011 TAHUN 1'

Pihak sekolah sangat komited dalam memastikan agenda Negara bebas dadah pada tahun 2015 melalui program pendidikan pencegahan dengan memainkan peranan sekolah sebagai pusat penyebaran ilmu dan sewajarnya setiap murid hadir setiap hari dengan kempen sifar ponteng sejak 2010.
Aktiviti sihat melalui kokurikulum , memastikan setiap murid diberi peluang menikmati kehidupan zaman kanak-kanak melalui penglibatan sukan, unit beruniform dan persatuan. Selain dari itu, kerja rumah terancang dan aktiviti komuniti sekolah membantu program pendidikan pencegahan dadah akan mencapai sasarannya 2012 bagi sekolah dan 2015 bagi negara.

'IKRAR MURID TAHUN 6 2011'




Selasa, 15 Mac 2011

Cuti Sekolah Yang Berkualiti

Assalamualaikum,
Cuti sekolah selama sembilan hari bermula 12 Mac hingga 20 Mac 2011 adalah saat-saat yang dinantikan oleh semua murid-murid sekolah. Perancangan membekalkan kerja rumah oleh pihak sekolah dan pemantauan berterusan ibu bapa merupakan kesinambungan pembelajaran dalam masa cuti yang berkualiti.
Bercuti  bukan bermakna murid-murid terus bercuti dari mendapat ilmu. Sepatutnya murid-murid menggunakan waktu cuti sekolah ini bagi  memperkayakan pengetahuan melalui bahan bacaan tambahan, mengulang kaji atau menambah  ilmu melalui  pelbagai sumber .
Tidak dinafikan, merehatkan minda ketika bercuti sekolah amat diperlukan oleh murid-murid sekolah. Pelbagai kaedah dalam merehatkan diri dan dalam masa yang sama anak-anak tidak tercicir dari mendapat ilmu. Pendekatan seperti mengikuti  program-program yang disediakan oleh  pihak yang berkepentingan seperti program motivasi masa cuti atau menyertai kursus-kursus jangka pendek adalah pilihan bagi  yang berkemampuan. Malahan ketika berehat, murid-murid masih boleh mencari ilmu sambil menonton televisyen dengan membuat catatan dalam bentuk peta minda segala maklumat yang berilmiah.
Alternatif  yang disediakan oleh pihak sekolah seperti kelas tambahan dan aktiviti ko-kurikulum masa cuti merupakan salah satu pilihan tepat bagi ibu bapa yang prihatin tentang kepentingan dan cabaran pendidikan masa kini.
Tahniah kepada semua murid SK TAMAN BUNGA RAYA 1 yang hadir ke kelas tambahan dan menghadiri aktiviti ko-kurikulum  masa cuti.
Selamat bercuti dan insyaAllah jumpa 21 Mac 2011.

Selasa, 1 Mac 2011

PEMANTAUAN CALON "ANUGERAH PEMIMPIN DALAM ICT 2011"


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ , وَالعَاقِبَة لِلْمُتَّقِيْنَ وَالصَّلاَة ُوَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ

                                                       Ya Allah Ya Karim Ya Wadud

Kami memanjatkan kesyukuran kepada-Mu kerana mengizinkan kami untuk mengadakan dan berada dalam Pemantauan Pencalonan Anugerah Pemimpin Dalam ICT mewakili Daerah Hulu Selangor

Ya Allah Ya Fa’aalullimaayurid

Kami memohon kepada-Mu , agar Engkau berkati majlis pemantauan  ini dengan limpahan rahman dan rahim-Mu, semoga segala usaha kami dalam menjayakan pencalonan  ini mendapat keredhaan dan hidayah-Mu. Tidak juga lupa kepada para pendidik yang telah lama menyumbang khidmat dan menabur bakti mereka di sekolah yang bertuah ini  khususnya dalam memartabatkan bangsa,agama dan negara melalui pendidikan tanpa sempadan melalui penghayatan, pengamalan dan pembudayaan ICT yang bermanfaat. 

Isnin, 28 Februari 2011

MINGGU KE - 9 28/2/2011

Assalamualaikum dan salam persaudaraan semua rakan Aspirasi Mentor:
Minggu ke 9 ini, keadaan tidak mengizinkan Mentor bercakap di perhimpunan rasmi Walau bagaimana pun, Mentor memberi laluan kepada Puan Fauziah binti Amran Guru Penolong Kanan Program Pendidikan Khas Integrasi untuk menyampaikan ucapan khas beliau.

Beliau mengambil kesempatan menerangkan secara ringkas Kelas Pendidikan Khas Integrasi yang mempunyai 44 orang murid dari pelbagai kategori masalah pembelajaran. Beliau menyeru semua murid lain menghormati mereka seperti murid-murid lain.Menurut beliau, murid pendidikan khas ini masih mampu bersaing di kalangan mereka malahan mereka masih mampu mencabar murid  lain seperti acara merentas desa peringkat sekolah malahan turut serta mengikuti program perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah.

Puan Fauziah mengakhiri dengan ucapan tahniah kepada wakil Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 yang masih mampu memartabatkan sekolah di peringkat daerah dalam acara olahraga serta pingpong dan di peringkat Kebangsaan khususnya kepada Pasukan Robotik sekolah. Beliau juga merakamkan penghargaan terima kasih dari pentadbir sekolah kepada Jawatankuasa Pelaksana Program Bestari Solat Tahun 1, Guru-guru Tahun 6 serta Kumpulan Elite sekolah yang turut menyumbang tenaga mengisi masa secara bermanfaat pada 26/2/2011 bersamaan hari Sabtu.

Untuk pengetahuan semua Puan Fauziah di calonkan Anugerah PPKI mewakili daerah Hulu Selangor. Selamat Maju Jaya , Gemilang dan Terbilang PPKI SK Taman Bunga Raya 1.

MINGGU KE - 8 21/2/2011

TEMA:     HAL EHWAL MURID
  
TAJUK:     DISIPLIN DIRI

KOSA KATA :

1)   KEKEMASAN
2)   SUSUN ATUR
3)   KECERIAAN
4)   KEKERAPAN
5)   KESEMPURNAAN
6)   KEBIASAAN
7)   KONSISTEN
8)   BERETIKA
9)   PERKEMBANGAN
10) VANDALISME
11) MEMBENDUNG

Assalamualaikum rakan Aspirasi Mentor,

Sekolah merupakan tempat mencari ilmu dunia dan akhirat. Kita di tuntut mendisplinkan diri dalam menjaga kebersihan, kekemasan dan keselamatan prasarana sekolah. Kesempurnaan  perlu mengambil kira keceriaan serta susun atur kedudukan kerusi dan meja di kelas-kelas.

Kebiasaan ahli keluarga sekolah mengambil berat 3K secara konsisten akan memberi impak besar dalam pencarian ilmu dan ia juga merupakan tuntutan agama Islam. Sekolah, persekitaran dan kelas yang bersih, ceria serta selamat akan membantu perkembangan positif seorang murid atau  seorang insan sama ada ia masih kecil atau telah dewasa.

Penggunaan harta benda sekolah secara beretika mewujudkan budaya jimat cermat serta dapat mengelakkan dari berlakunya kemalangan dan kerugian. Bilangan murid  seramai 1900 orang di SK Taman Bunga Raya 1 menuntut kita warga sekolah lebih berhemah dalam penggunaan semua aset sekolah, eletrik, air serta perabot yang akan diwarisi oleh generasi akan datang.

Semua murid dan warga sekolah perlu membendung budaya vandalisme di kalangan masyarakat kita yang semestinya bermula dari sekolah kita.

Segala yang baik sesungguhnya ia dari Allah.

Semoga SK Taman Bunga Raya 1 terus cemerlang, gemilang dan terbilang, insyaAllah.

MINGGU KE - 7

MINGGU KE - 6 07/02/2011

TEMA : SAYANGI KELUARGA - " KELUARGA KE-2  - SEKOLAH"

TAJUK : HARMONI  ( TENANG , AMAN , SERASI , SESUAI ) 

KOSA KATA :

1)   KELOMPOK
2)   PELBAGAI  (AGAMA & KEPERCAYAAN )
3)   TUNTUTAN
4)   KEHARMONIAN
5)   HUBUNGAN BAIK
6)   KEIKHLASAN
7)   MENGHORMATI
8)   KEMUDAHAN
9)   PEGANGAN AGAMA
10) DOA

MINGGU KE - 5

MINGGU KE - 4 24/1/2011

TEMA:     KOKURIKULUM
TAJUK:    MERENTAS DESA

KOSA KATA :

1)   MENGHADIRI
2)   FAEDAH
3)   MEMANASKAN BADAN
4)   MENJUARAI
5)   SEMANGAT
6)   TAKLIMAT
7)   ACARA TAHUNAN
8)   KUALITI
10) TERPANCAR

Alhamdulillah, merentas desa peringkat sekolah telah berjalan dengan lancarnya pada 22 Januari 2011. Merentas desa merupakan acara tahunan bagi menjayakan program 1 murid 1 sukan. Menghadiri program tersebut merupakan tanggungjawab semua murid tahap dua selain ia sangat memberi faedah dalam membina persaingan sihat dikalangan  murid .
Satu sesi taklimat berkaitan dengan peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap peserta telah diberi, selepas kehadiran murid dicatat oleh guru kelas masing-masing.
Memanaskan badan melalui senamrobik, bagi mengelakkan dari kekejangan telah berjalan dengan satu kepuasan di kalangan murid-murid  dan guru-guru yang menyertai.
Kesungguhan dalam menyertai acara merentas desa tersebut terpancar di kalangan semua peserta walaupun hanya mendapatkan pungutan mata mengikut masa yang ditetapkan bagi rumah masing-masing.
Tahniah kepada rumah Shah Bandar yang menjuarai merentas desa 2011.

PERHIMPUNAN MINGGU KE - 3

PERHIMPUNAN MINGGUAN

TEMA:    PROGRAM PIBG
TAJUK:  PERMUAFAKATAN IBU BAPA DAN GURU




KOSA KATA :

1)   PERMUAFAKATAN
2)   SANTAPAN
3)   MERANGSANG
4)   RESTU
5)   BERKAT
6)   INDIVIDU
7)   SEMPURNA
8)   RANGKUM @ MERANGKUMI
9)   PORAK- PERANDA
10) BERINTERAKSI

Pada 15 Januari 2011 bersamaan hari Sabtu , permuafakatan ibu bapa - sekolah telah berjalan dengan lancarnya. Di dalam Majlis tersebut ibu bapa dan guru sepakat bersetuju menjalankan program Kecemerlangan Akademik  Tahun 6 dan Tahun 5.
Santapan Rohani merupakan satu dari pengisian yang dipersetujui dalam memastikan kecemerlangan anak-anak, oleh itu setiap akhir bulan pihak  pentadbir sekolah atau kaunselor sekolah akan memotivasi murid-murid khusus tahun 6. Ia bertujuan merangsang minat hadir ke sekolah serta melonjakkan pradigma budaya belajar murid.
Restu melalui santapan rohani dari guru-guru selain restu dari ibu bapa sendiri diharapkan dapat mencungkil bakat murid dalam semua aspek. Kesempurnaan individu ialah yang  mendapat ilmu yang berkat dari gurunya serta penghayatan amalan secara berterusan.
Interaksi secara sihat dalam amalan berilmu merangkumi sifat tolak ansur, menghormati pandangan rakan, menggunakan fakta yang betul serta sentiasa prihatin dapat mengelakan suasana porak-peranda di dalam komuniti sekolah.